Saturday 31 December 2011

PERAYAAN-PERAYAAN YANG DISAMBUT OLEH KAUM INDIA


HARI DEEPAVALI

Hari Deepavali (Bahasa Tamil: தீபாவளி) merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia.
Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa"yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalender Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.
Menurut lagenda, Raja Naragasuri yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasuri meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.


Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.


Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan mengunjungi kuil dimana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.

Pada pintu masuk rumah penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya diperbuat daripaja bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan "kolam" ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshimi, Dewa Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka.

"Kolam" merupakaan upacara keagamaan bagi penganut Hindu dan orang Islam adalah dilarang mengikutnya.



HARI THAIPUSAM

Hari Thaipusam merupakan satu perayaan yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh dunia. Perayaan ini bagi menghormati dewa Hindu, iaitu Lord Murugan. Perayaan ini disambut pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil yang dikenali juga sebagai bulan 'Thai'.

Bagi penganut yang beragama Hindu, Thaipusam adalah hari untuk menghapuskan dosa-dosa dan bertaubat sepenuhnya akan kesalahan yang lepas.

Sebelum menyambut Thaipusam, penganut agama Hindu akan berpuasa selama sebulan untuk tujuan membersihkan jiwa. Dalam tempoh sebulan ini, mereka berpuasa dengan makan sayur sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil. Dua puluh empat jam sebelum menyambut Thaipusam pula, mereka akan berpuasa sepenuhnya.
Masyarakat yang beragama Hindu di Malaysia, biasanya akan menyambut perayaan Thaipusam ini di Batu Caves, iaitu sebuah tempat suci bagi masyarakat Hindu di sini.
Pada hari Thaipusam, penganut agama Hindu akan membawa patung Dewa Subramaniam, iaitu anak bongsu Dewa Siva, di atas pedati perak dan diarak dengan muzik tradisi. Selain itu, antara ciri utama perayaan Thaipusam ini, penganut agama Hindu juga akan membawa 'kavadi', iaitu sebuah kerangka besi yang dihiasi dengan bunga, kertas berwarna-warni, dan buah-buahan segar yang dijunjung di atas bahu. Ini adalah sebagai tanda membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam.
Bagi sesetengah penganut agama Hindu juga, mereka akan mencucuk logam atau besi yang menembusi kulit tubuh, lidah, pipi, dan anggota badan yang lain bagi tujuan membersihkan dosa dan menyucikan diri. Mereka akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa 'kavadi'. Biasanya, pembawa 'kavadi' ini berada dalam keadaan terpukau sambil mengikut rentak lagu yang dimainkan.
Di Malaysia, pembawa 'kavadi' ini akan berarak dan menaiki 272 anak tangga di Batu Caves sehingga sampai di pintu gua dan meletakkan kavadi dihadapan patung dewa. Selain itu, penganut agama Hindu juga akan membawa kelapa, madu, dan susu untuk dipersembahkan kepada dewa-dewa bagi mendapatkan restu.

Perayaan Thaipusam di Malaysia, biasanya disambut secara meriah bagi masyarakat yang beragama Hindu. Perayaan ini turut mendapat perhatian daripada masyarakat yang berbangsa lain. Oleh itu, tidak hairanlah banyak pelancong yang datang dan merakamkan suasana menarik semasa sambutan perayaan ini.


HARI THAIPONGGOL

Thaiponggol merupakan perayaan menuai yang diraikan mengikut kalender Hindu. Disebabkan hari perayaan Thaiponggol ditetapkan dalam kalender Hindu, hari Thaiponggol disambut berbeza dengan tempoh menuai yang sebenar. Pada kebiasaannya, orang-orang Tamil akan meraikan perayaan menuai Thaiponggol pada minggu kedua bulan Januari.



Pada subuh pagi Thaiponggol, para petani akan bangun dan memasak bijiran yang baru dituai yang dikenali sebagai Ponggol. Masakan Ponggol ini merupakan masakan hasil tuaian baru yang akan dipersembahkan kepada matahari pada waktu pagi.

Pesta Thaiponggol merupakan hari bagi memuliakan Dewa Matahari yang penting kepada semua tanaman. Upacara penyembahan juga diadakan di kuil secara besar-besaran, dan di rumah secara kecil-kecilan.

Bagi perayaan di rumah, seluruh keluarga akan bangun awal dan mandi dan berpakaian cantik sebelum subuh. Semua ini dilakukan tanpa menggunakan cahaya. Apabila semua ahli keluarga telah bersedia, mereka berkumpul mengelilingi gubahan buah dan bunga. Hanya ketika itu lampu akan di gunakan. Gambaran kecantikan alam semulajadi mesti merupakan gambaran pertama dilihat pada waktu pagi. Pada pagi hari, makanan pagi dari tumbuhan sepenuhnya "vegetarian" akan dihidangkan kepada semua ahli keluarga.


HARI WESAK

Hari Wesak merupakan hati terpenting bagi penganut agama Buddha kerana hari Wesak melambangkan kelahiran, kesedaran, dan kematian Gautama Buddha. Penganut Buddha akan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi untuk memusatkan fikiran kepada lapan prinsip "Precepts" sementara para sami yang memakai sarung kuning akan membaca kitab Buddha "Sutras". Hari Wesak juga dikenali dengan nama Visakah Puja atau Buddha Purnima di India, Vesak di Singapura, Visakha Bucha di Thailand, dan Wesak di Sri Lanka.



Selepas itu penganut Buddha akan bersembahyang dan melepaskan burung merpati. Hari Wesak juga merupakan hari memberi makan kepada orang miskin dan sedekah kepada para sami. Hari Wesak dirayakan oleh semua penganut agama Buddha di seluruh dunia.

Dikalangan penganut Buddha di Singapura dan Taiwan, terdapat amalan mencederakan diri ketika menyambut hari Wesak seperti berjalan di atas bara api sebagai menyambut hari kelahiran dewa Bao-sheng Da-di.

Ia dirayakan dalam bulan Mei pada waktu terang bulan (purnama sidhi) untuk memperingati tiga peristiwa penting, iaitu:

·    * Kelahiran Siddharta Buddha di Taman Lumbini pada tahun 623 S.M.
·     *Siddharta Buddha mendapat ilham Agung dan menjadi Buddha di Buddha-Gaya pada usia 35 tahun di tahun 588 S.M.
* Buddha Gautama mangkat di Kusinara pada usia 80 tahun di tahun 543 S.M.

PERAYAAN-PERAYAAN YANG DISAMBUT OLEH KAUM CINA



TAHUN BARU CINA
Perayaan ini disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalender mereka.
Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalender mereka iaitu tikus , lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi.

Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul untuk mengeratkan perhubungan sesama keluarga. Pemberian ‘angpau’ juga dilakukan oleh mereka yang sudah berumahtangga. Perayaan Chap Goh Mei diadakan sebagai penutup perayaan Tahun Baru Cina.

  
HARI CHAP GOH MEI
Lima belas hari selepas Tahun Baru Cina merupakan hari Chap Goh Mei disambut sebagai menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina.
Pesta Chap Goh Mei disambut dengan mengadakan upucara sembahyang secara besar-besaran, di mana colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Bunga api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi meraikan Chap Goh Mei.
Chap Goh Mei juga dianggap sebagai malam mencari pasangan di mana para gadis akan berpakaian serba indah dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang secucuk.

Terdapat juga amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat pasangan. Buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai.
Persembahan kebudayaan Cina akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan perayaan Chap Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, dan mengimbang bendera besar "Chingay".

PERAYAAN KUIH BULAN
Perayaan Kuih Bulan merupakan perayaan menyambut kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Mongol pada akhir Dinasti Yuan (120 Sebelum Masihi - 1341 Masihi).
Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari kelimabelas pada bulan kelapan pada kalender Cina iaitu pada akhir bulan Ogos atau awal bulan September. Perayaan Kuih Bulan disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan.
Salah satu hidangan istimewa pada perayaan Kuih Bulan merupakan Kuih Bulan itu sendiri. Kuih Bulan itu diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Menurut tradisi, pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol.
Terdapat juga tradisi yang menyatakan Kuih Bulan dibuat sebagai persembahan kepada Dewa Dapur. Dewa Dapur yang makan Kuih Bulan tidak dapat menyampaikan lapuran buruk kepada Maharaja Syurga disebabkan mulutnya terkunci oleh Kuih Bulan yang manis itu.

PERAYAAN- PERAYAAN YANG DISAMBUT OLEH KAUM MELAYU


HARI RAYA AIDILFITRI

Pada tanggal 1 Syawal tahun Hijrah, seluruh masyarakat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Di Malaysia, sambutan hari raya ini disebut juga sebagai Hari Raya Puasa. Hari raya ini setelah menghabiskan kewajipan puasa pada bulan Ramadan.



Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini akan ditentukan harinya apabila anak bulan Syawal (rukyah) dapat dilihat pada penghujung bulan Ramadan. Ini mengikut hisab berdasarkan Takwim Tahun Islam. Kebiasaannya, apabila sudah ditentukan 1 Syawal itu, pada malamnya, umat Islam akan beramai-ramai bertakbir hari raya di masjid atau pun surau.



Keesokan harinya, semua umat Islam, lelaki dan perempuan akan ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah. Di negara kita, sambutan Hari Raya Aidilfitri ini disambut secara meriah pada setiap tahun.

Bermula seawal bulan Ramadan lagi, umat Islam akan membuat persiapan tertentu untuk menyambut kedatangan hari raya ini. Antara tradisi umat Islam di negara ini, menjelang kedatangan 1 Syawal ini, adalah dengan menyediakan pakaian baru untuk keluarga, menghias rumah, dan membuat berbagai-bagai jenis kuih tradisi untuk dihidangkan kepada para tetamu yang datang berkunjung ke rumah.

Selain itu juga, umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah bagi setiap anggota keluarga. Kadar nilai zakat ini ditentukan oleh harga semasa beras, iaitu makanan asasi rakyat di negara kita.

Masyarakat Islam di Malaysia, biasanya mengambil peluang cuti pada hari raya ini untuk pulang ke kampung dan menyambut hari raya bersama-sama keluarga dan ibu-bapa masing-masing. Pada pagi hari raya pertama, umat Islam akan mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf kepada ibu bapa, suami atau isteri dan dari yang muda kepada yang tua. Selepas itu, dalam tradisi kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai juga, umat Islam akan mengambil kesempatan untuk bermaaf-maafan, di samping mengeratkan silaturrahim.

Pada hari raya Aidilfitri juga, umat Islam akan meyediakan berbagai-bagai jenis juadah tradisional seperti lemang, ketupat, nasi himpit, dodol, dan lain-lain lagi untuk tetamu yang datang berkunjung dan beraya di rumah mereka. Bagi kanak-kanak pula, mereka amat gembira kerana dapat bergaya dengan pakaian yang baru serta mendapat duit raya apabila beraya dengan orang dewasa. Amalan memberi duit raya ini adalah suatu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Islam di negara kita pada hari raya, iaitu untuk bersedekah dan menggembirakan anak-anak yang masih muda.

Selain itu, pada hari raya juga, umat Islam di Malaysia mengambil kesempatan untuk berkunjung ke pusara ahli keluarga dan saudara mara. Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia lebih bermakna pada hari ini dengan konsep rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.

Kerajaan juga telah mengadakan rumah terbuka peringkat kebangsaan untuk meraikan hari raya Aidilfitri ini dengan berbagai-bagai acara dan juadah istimewa kepada seluruh masyarakat yang hadir. Konsep rumah terbuka ini dapat menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk bersama-sama menyambut perayaan ini dengan penuh rasa gembira dalam suasana harmoni.


HARI RAYA AIDIL ADHA

Hari Raya Aidiladha atau juga disebut Hari Raya Korban dan Hari Raya Hajimerupakan perayaan agama yang disambut oleh seluruh umat Islam di dunia. Hari raya ini menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah, iaitu sehari selepas jemaah haji mengerjakan wukuf di Arafah.



Orang-orang Islam menyambut Aidiladha pada tanggal 10 Zulhijjah pada setiap tahun. Malah, bulan ini merupakan bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam. Perkataan 'Aidiladha' berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud 'hari penyembelihan korban'. Ini sempena memperingati kisah Nabi Ibrahim A.S yang diperintahkan oleh Allah S.W.T agar menyembelih anaknya, iaitu Nabi Ismail A.S.



Walaupun dengan hati yang amat berat, Nabi Ibrahim terus taat dengan suruhan Allah untuk menyembelih anaknya. Walau bagaimanapun, Allah telah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas.

Sehubungan dengan itu, sebagai mengingati perintah Allah kepada Nabi Ismail ini, masyarakat Islam yang berkemampuan digalakkan menyembelih binatang seperti kambing atau lembu sebagai korban pada hari raya ini. Daging sembelihan ini akan dibahagikan, terutamanya kepada fakir miskin.

Sambutan Hari Raya Aidiladha di Malaysia, biasanya dimulakan dengan bacaan takbir dan tahmid secara berjemaah di masjid. Selepas itu, disusuli pula dengan sembahyang sunat Aidiladha pada waktu pagi. Kemudian bacaan khutbah akan diperdengarkan yang berkisarkan tentang pengorbanan dan perjuangan Nabi Ibrahim.

Selepas habis mendengar khutbah, umat Islam akan mengambil kesempatan berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai untuk mengeratkan silaturahim sambil menjamu selera dengan juadah istimewa. Acara penyembelihan korban pula akan diadakan selepas itu dan tiga hari berikutnya, iaitu pada 11, 12, dan 13 hari Tasyrik. Seluruh masyarakat akan bersama-sama membuat kerja-kerja penyembelihan tersebut.

Sambutan Hari Raya Aidiladha di Malaysia, biasanya disambut meriah oleh masyarakat di pantai timur, berbanding dengan masyarakat Islam di sebelah pantai barat yang menyambutnya dengan cara yang agak sederhana.



SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

Perkataan 'maulid' berasal daripada Bahasa Arab yang bermaksud hari lahir seseorang. Apabila disebut 'Maulidur Rasul', umum memahami ungkapan ini bermaksud hari keputeraan Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W. Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan di Tanah Suci Makkah pada 20 April tahun Masihi 571 bersamaan 12 Rabiulawal Tahun Gajah.

Oleh yang demikian, hari maulid ini dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Negara kita turut memuliakan dan merayakan hari maulid. Hari maulid ini menjadi hari cuti umum di negara kita kerana agama Islam merupakan agama rasmi di negara ini.

Maulidur Rasul disambut dan dirayakan dengan berbagai-bagai cara di negara kita. Setiap kerajaan negeri akan mengadakan sambutannya secara besar-besaran.

Lazimnya, mengadakan syarahan memperingati Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, orang ramai berselawat, perarakan, dan lain-lain. Di kalangan masyarakat pula, mereka mengadakan majlis berselawat dan jamuan. Sambutan ini diadakan di rumah dan masjid. Di sesetengah tempat pula, mereka mengadakan majlis membaca riwayat maulid, iaitu sebuah kitab yang ditulis khas tentang riwayat hidup Nabi Muhammad S.A.W.