KENALI BUDAYA MALAYSIA
PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN TAHUN 6 (UNIT 6)
Sunday, 1 January 2012
Saturday, 31 December 2011
PERAYAAN-PERAYAAN YANG DISAMBUT OLEH KAUM INDIA
HARI DEEPAVALI
Hari Deepavali (Bahasa Tamil: தீபாவளி) merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu
di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia.
Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa"yang
beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan
Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalender Tamil
(antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.
Menurut lagenda, Raja Naragasuri yang kejam dan selalu
memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum
mati, Raja Naragasuri meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan
itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan
syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi
daripada membuat kejahatan sesama manusia.
Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut
Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan
sebagai perayaan Deepavali.
Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan menjalani mandi
minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upacara
penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan
mengunjungi kuil dimana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan
bunga.
Pada pintu masuk rumah penganut Hindu hiasan
"kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang
biasanya diperbuat daripaja bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan
"kolam" ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshimi, Dewa
Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai
hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka.
"Kolam" merupakaan upacara keagamaan bagi
penganut Hindu dan orang Islam adalah dilarang mengikutnya.
HARI THAIPUSAM
Hari Thaipusam
merupakan satu perayaan yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh
dunia. Perayaan ini bagi menghormati dewa Hindu, iaitu Lord Murugan. Perayaan
ini disambut pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil yang dikenali juga
sebagai bulan 'Thai'.
Bagi penganut
yang beragama Hindu, Thaipusam adalah hari untuk menghapuskan dosa-dosa dan
bertaubat sepenuhnya akan kesalahan yang lepas.
Sebelum menyambut
Thaipusam, penganut agama Hindu akan berpuasa selama sebulan untuk tujuan
membersihkan jiwa. Dalam tempoh sebulan ini, mereka berpuasa dengan makan sayur
sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil. Dua puluh empat jam sebelum
menyambut Thaipusam pula, mereka akan berpuasa sepenuhnya.
Masyarakat yang
beragama Hindu di Malaysia, biasanya akan menyambut perayaan Thaipusam ini di
Batu Caves, iaitu sebuah tempat suci bagi masyarakat Hindu di sini.
Pada hari
Thaipusam, penganut agama Hindu akan membawa patung Dewa Subramaniam, iaitu
anak bongsu Dewa Siva, di atas pedati perak dan diarak dengan muzik tradisi.
Selain itu, antara ciri utama perayaan Thaipusam ini, penganut agama Hindu juga
akan membawa 'kavadi', iaitu sebuah kerangka besi yang dihiasi dengan bunga, kertas
berwarna-warni, dan buah-buahan segar yang dijunjung di atas bahu. Ini adalah
sebagai tanda membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam.
Bagi sesetengah
penganut agama Hindu juga, mereka akan mencucuk logam atau besi yang menembusi
kulit tubuh, lidah, pipi, dan anggota badan yang lain bagi tujuan membersihkan
dosa dan menyucikan diri. Mereka akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa
'kavadi'. Biasanya, pembawa 'kavadi' ini berada dalam keadaan terpukau sambil
mengikut rentak lagu yang dimainkan.
Di Malaysia,
pembawa 'kavadi' ini akan berarak dan menaiki 272 anak tangga di Batu Caves
sehingga sampai di pintu gua dan meletakkan kavadi dihadapan patung dewa.
Selain itu, penganut agama Hindu juga akan membawa kelapa, madu, dan susu untuk
dipersembahkan kepada dewa-dewa bagi mendapatkan restu.
Perayaan
Thaipusam di Malaysia, biasanya disambut secara meriah bagi masyarakat yang
beragama Hindu. Perayaan ini turut mendapat perhatian daripada masyarakat yang
berbangsa lain. Oleh itu, tidak hairanlah banyak pelancong yang datang dan
merakamkan suasana menarik semasa sambutan perayaan ini.
HARI THAIPONGGOL
Thaiponggol
merupakan perayaan menuai yang diraikan mengikut kalender Hindu. Disebabkan
hari perayaan Thaiponggol ditetapkan dalam kalender Hindu, hari Thaiponggol
disambut berbeza dengan tempoh menuai yang sebenar. Pada kebiasaannya,
orang-orang Tamil akan meraikan perayaan menuai Thaiponggol pada minggu kedua
bulan Januari.
Pada subuh pagi Thaiponggol, para petani akan bangun dan memasak bijiran yang
baru dituai yang dikenali sebagai Ponggol. Masakan Ponggol ini merupakan
masakan hasil tuaian baru yang akan dipersembahkan kepada matahari pada waktu
pagi.
Pesta Thaiponggol merupakan hari bagi memuliakan Dewa Matahari yang penting
kepada semua tanaman. Upacara penyembahan juga diadakan di kuil secara
besar-besaran, dan di rumah secara kecil-kecilan.
Bagi perayaan di rumah, seluruh keluarga akan bangun awal dan mandi dan
berpakaian cantik sebelum subuh. Semua ini dilakukan tanpa menggunakan cahaya.
Apabila semua ahli keluarga telah bersedia, mereka berkumpul mengelilingi
gubahan buah dan bunga. Hanya ketika itu lampu akan di gunakan. Gambaran
kecantikan alam semulajadi mesti merupakan gambaran pertama dilihat pada waktu
pagi. Pada pagi hari, makanan pagi dari tumbuhan sepenuhnya
"vegetarian" akan dihidangkan kepada semua ahli keluarga.
HARI WESAK
Hari
Wesak merupakan hati terpenting bagi penganut agama Buddha kerana hari
Wesak melambangkan kelahiran, kesedaran, dan kematian Gautama Buddha. Penganut Buddha
akan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi untuk memusatkan fikiran kepada
lapan prinsip "Precepts" sementara para sami yang memakai sarung
kuning akan membaca kitab Buddha "Sutras". Hari Wesak juga dikenali
dengan nama Visakah Puja atau Buddha Purnima di India, Vesak di Singapura,
Visakha Bucha di Thailand, dan Wesak di Sri Lanka.
Selepas itu penganut Buddha akan bersembahyang dan melepaskan burung merpati.
Hari Wesak juga merupakan hari memberi makan kepada orang miskin dan sedekah
kepada para sami. Hari Wesak dirayakan oleh semua penganut agama Buddha di
seluruh dunia.
Dikalangan penganut Buddha di Singapura dan Taiwan, terdapat amalan
mencederakan diri ketika menyambut hari Wesak seperti berjalan di atas bara api
sebagai menyambut hari kelahiran dewa Bao-sheng Da-di.
Ia dirayakan dalam bulan Mei pada waktu terang bulan (purnama sidhi) untuk
memperingati tiga peristiwa penting, iaitu:
· * Kelahiran
Siddharta Buddha di Taman Lumbini pada tahun 623 S.M.
· *Siddharta
Buddha mendapat ilham Agung dan menjadi Buddha di Buddha-Gaya pada usia 35
tahun di tahun 588 S.M.
* Buddha
Gautama mangkat di Kusinara pada usia 80 tahun di tahun 543 S.M.
PERAYAAN-PERAYAAN YANG DISAMBUT OLEH KAUM CINA
TAHUN BARU CINA
Perayaan ini disambut secara besar-besaran oleh
masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut
kalender mereka.
Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalender mereka iaitu tikus ,
lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing
dan babi.
Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul untuk
mengeratkan perhubungan sesama keluarga. Pemberian ‘angpau’ juga dilakukan oleh
mereka yang sudah berumahtangga. Perayaan Chap Goh Mei diadakan sebagai penutup
perayaan Tahun Baru Cina.
HARI CHAP GOH MEI
Lima belas hari
selepas Tahun Baru Cina merupakan hari Chap Goh Mei disambut sebagai menandakan
berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina.
Pesta Chap Goh
Mei disambut dengan mengadakan upucara sembahyang secara besar-besaran, di mana
colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Bunga
api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi meraikan Chap Goh Mei.
Chap Goh Mei juga
dianggap sebagai malam mencari pasangan di mana para gadis akan berpakaian
serba indah dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang
secucuk.
Terdapat juga
amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat
pasangan. Buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan
yang sesuai.
Persembahan
kebudayaan Cina akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan perayaan Chap
Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, dan mengimbang
bendera besar "Chingay".
PERAYAAN KUIH BULAN
Perayaan Kuih
Bulan merupakan perayaan menyambut kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah
Mongol pada akhir Dinasti Yuan (120 Sebelum Masihi - 1341 Masihi).
Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari kelimabelas pada
bulan kelapan pada kalender Cina iaitu pada akhir bulan Ogos atau awal bulan
September. Perayaan Kuih Bulan disambut dengan perarakan tanglung pada malam
perayaan.
Salah satu hidangan istimewa pada perayaan Kuih Bulan
merupakan Kuih Bulan itu sendiri. Kuih Bulan itu diperbuat daripada adunan
manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur
masin. Menurut tradisi, pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui
surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan
Dinasti Mongol.
Terdapat juga
tradisi yang menyatakan Kuih Bulan dibuat sebagai persembahan kepada Dewa
Dapur. Dewa Dapur yang makan Kuih Bulan tidak dapat menyampaikan lapuran buruk
kepada Maharaja Syurga disebabkan mulutnya terkunci oleh Kuih Bulan yang manis
itu.
PERAYAAN- PERAYAAN YANG DISAMBUT OLEH KAUM MELAYU
HARI RAYA
AIDILFITRI
Pada tanggal 1
Syawal tahun Hijrah, seluruh masyarakat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya
Aidilfitri. Di Malaysia, sambutan hari raya ini disebut juga sebagai Hari Raya
Puasa. Hari raya ini setelah menghabiskan kewajipan puasa pada bulan Ramadan.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini akan ditentukan harinya apabila anak bulan
Syawal (rukyah) dapat dilihat pada penghujung bulan Ramadan. Ini mengikut hisab
berdasarkan Takwim Tahun Islam. Kebiasaannya, apabila sudah ditentukan 1 Syawal
itu, pada malamnya, umat Islam akan beramai-ramai bertakbir hari raya di masjid
atau pun surau.
Keesokan harinya, semua umat Islam, lelaki dan perempuan akan ke masjid untuk
menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah. Di negara
kita, sambutan Hari Raya Aidilfitri ini disambut secara meriah pada setiap
tahun.
Bermula seawal bulan Ramadan lagi, umat Islam akan membuat persiapan tertentu
untuk menyambut kedatangan hari raya ini. Antara tradisi umat Islam di negara
ini, menjelang kedatangan 1 Syawal ini, adalah dengan menyediakan pakaian baru
untuk keluarga, menghias rumah, dan membuat berbagai-bagai jenis kuih tradisi
untuk dihidangkan kepada para tetamu yang datang berkunjung ke rumah.
Selain itu juga, umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah bagi setiap
anggota keluarga. Kadar nilai zakat ini ditentukan oleh harga semasa beras,
iaitu makanan asasi rakyat di negara kita.
Masyarakat Islam di Malaysia, biasanya mengambil peluang cuti pada hari raya
ini untuk pulang ke kampung dan menyambut hari raya bersama-sama keluarga dan
ibu-bapa masing-masing. Pada pagi hari raya pertama, umat Islam akan mengambil
kesempatan untuk memohon ampun dan maaf kepada ibu bapa, suami atau isteri dan dari
yang muda kepada yang tua. Selepas itu, dalam tradisi kunjung-mengunjung ke
rumah sanak saudara dan sahabat handai juga, umat Islam akan mengambil
kesempatan untuk bermaaf-maafan, di samping mengeratkan silaturrahim.
Pada hari raya Aidilfitri juga, umat Islam akan meyediakan berbagai-bagai jenis
juadah tradisional seperti lemang, ketupat, nasi himpit, dodol, dan lain-lain
lagi untuk tetamu yang datang berkunjung dan beraya di rumah mereka. Bagi
kanak-kanak pula, mereka amat gembira kerana dapat bergaya dengan pakaian yang
baru serta mendapat duit raya apabila beraya dengan orang dewasa. Amalan
memberi duit raya ini adalah suatu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Islam
di negara kita pada hari raya, iaitu untuk bersedekah dan menggembirakan
anak-anak yang masih muda.
Selain itu, pada hari raya juga, umat Islam di Malaysia mengambil kesempatan
untuk berkunjung ke pusara ahli keluarga dan saudara mara. Kemeriahan sambutan
Hari Raya Aidilfitri di Malaysia lebih bermakna pada hari ini dengan konsep
rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.
Kerajaan juga telah mengadakan rumah terbuka peringkat kebangsaan untuk
meraikan hari raya Aidilfitri ini dengan berbagai-bagai acara dan juadah
istimewa kepada seluruh masyarakat yang hadir. Konsep rumah terbuka ini dapat
menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum
untuk bersama-sama menyambut perayaan ini dengan penuh rasa gembira dalam
suasana harmoni.
HARI RAYA AIDIL ADHA
Hari Raya
Aidiladha atau juga disebut Hari Raya Korban dan Hari Raya
Hajimerupakan perayaan agama yang disambut oleh seluruh umat Islam di dunia.
Hari raya ini menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah,
iaitu sehari selepas jemaah haji mengerjakan wukuf di Arafah.
Orang-orang Islam menyambut Aidiladha pada tanggal 10 Zulhijjah pada setiap
tahun. Malah, bulan ini merupakan bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam.
Perkataan 'Aidiladha' berasal daripada bahasa Arab yang membawa
maksud 'hari penyembelihan korban'. Ini sempena memperingati kisah Nabi
Ibrahim A.S yang diperintahkan oleh Allah S.W.T agar menyembelih anaknya, iaitu
Nabi Ismail A.S.
Walaupun dengan hati yang amat berat, Nabi Ibrahim terus taat dengan suruhan
Allah untuk menyembelih anaknya. Walau bagaimanapun, Allah telah menggantikan
Nabi Ismail dengan seekor kibas.
Sehubungan dengan itu, sebagai mengingati perintah Allah kepada Nabi Ismail
ini, masyarakat Islam yang berkemampuan digalakkan menyembelih binatang seperti
kambing atau lembu sebagai korban pada hari raya ini. Daging sembelihan ini
akan dibahagikan, terutamanya kepada fakir miskin.
Sambutan Hari Raya Aidiladha di Malaysia, biasanya dimulakan dengan bacaan
takbir dan tahmid secara berjemaah di masjid. Selepas itu, disusuli pula dengan
sembahyang sunat Aidiladha pada waktu pagi. Kemudian bacaan khutbah akan
diperdengarkan yang berkisarkan tentang pengorbanan dan perjuangan Nabi
Ibrahim.
Selepas habis mendengar khutbah, umat Islam akan mengambil kesempatan
berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai untuk mengeratkan
silaturahim sambil menjamu selera dengan juadah istimewa. Acara penyembelihan
korban pula akan diadakan selepas itu dan tiga hari berikutnya, iaitu pada 11,
12, dan 13 hari Tasyrik. Seluruh masyarakat akan bersama-sama membuat kerja-kerja
penyembelihan tersebut.
Sambutan Hari Raya Aidiladha di Malaysia, biasanya disambut meriah oleh
masyarakat di pantai timur, berbanding dengan masyarakat Islam di sebelah
pantai barat yang menyambutnya dengan cara yang agak sederhana.
SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
Perkataan 'maulid' berasal
daripada Bahasa Arab yang bermaksud hari lahir seseorang. Apabila
disebut 'Maulidur Rasul', umum memahami ungkapan ini bermaksud hari
keputeraan Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W. Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan
di Tanah Suci Makkah pada 20 April tahun Masihi 571 bersamaan 12 Rabiulawal
Tahun Gajah.
Oleh yang
demikian, hari maulid ini dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Negara
kita turut memuliakan dan merayakan hari maulid. Hari maulid ini menjadi hari cuti
umum di negara kita kerana agama Islam merupakan agama rasmi di negara ini.
Maulidur Rasul
disambut dan dirayakan dengan berbagai-bagai cara di negara kita. Setiap
kerajaan negeri akan mengadakan sambutannya secara besar-besaran.
Lazimnya,
mengadakan syarahan memperingati Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, orang
ramai berselawat, perarakan, dan lain-lain. Di kalangan masyarakat pula, mereka
mengadakan majlis berselawat dan jamuan. Sambutan ini diadakan di rumah dan
masjid. Di sesetengah tempat pula, mereka mengadakan majlis membaca riwayat
maulid, iaitu sebuah kitab yang ditulis khas tentang riwayat hidup Nabi
Muhammad S.A.W.
Subscribe to:
Posts (Atom)